Khamis, 29 Julai 2010

Cerita pasal Fidyah...

Assalamualaikum W.B.K.T... alamak sorrylah pasal dua hari tak pose apa-apa. Heehe... semalam penat sangat... meeting, malam ngantuk tak sempat nak pose apa-apa. Hari nie pun sama gak ... pagi tadi tetiba je dapat call dari PPD ada Emersion... kena pergi, tengah hari ada meeting.. tapi tak sempat, sebab program emersion lambat habis...samapai skolah meetingpun dah habis.. (hehe tapi best gak). Oklah itu hari aku janji nak cerita pasal Fidyah dan ganti puasa... so camni cerita dia...

FIDYAH ni.. adalah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada individu Islam yang tak dapat menggantikan puasanya dibulan Ramadan pada suatu tahun, hinggalah tiba pada Ramadhan yang berikutnya. Senang cakap kira cam dendalah...

Hukum bayar fidyah nie  WAJIB. Walaupun fidyah telah dibayar, tetapi bagi orang yang sengaja meninggalkan puasa tetap wajib menggantikan puasa mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Jika bilangan hari tersebut telah melangkau tahun berikutnya, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan.  

Kadar fidyah yang dikenakan pulak ialah 1 hari tinggal puasa, dendanya 1 cupak beras. 1 cupak beras lak bersamaan 1 mud iaitu bersamaan nilai zakat fitrah semasa dibahagi 4. Faham tak stakat nie?

Fidyah puasa diwajibkan kepada orang yang berikut:


1. Orang tua yang sudah tidak mampu berpuasa atau pesakit yang tidak mampu berpuasa serta penyakitnya tidak mungkin sembuh.

2. Orang yang hamil dan menyusukan anak dan berbuka puasa kerana takut sesuatu yang tidak elok berlaku kepada anaknya.

3. Orang yang wajib qada puasa dan sampai ke ramadan akan datang dia masih tidak menggantikannya. Fidyah akan berganda setiap tahun yang seterusnya jika masih tidak menggadakan puasa.

4. Orang yang sudah mati dan masih ada lagi puasa yang tidak diganti. wajib bayar fidyah dari harta peninggalannya (sebelum dibahagi2kan) sekiranya tidak ada waris yang hendak menggantikannya.

Bagaimana fidyah dikira :
jumlah puasa yang ditingalkan pada tahun berkenaan   X  jumlah gandaan tahun semasa  X  harga zakat fitrah tahun semasa  X 1/4

rujuk gambar di bawah :
Emmmm.. jadi, sekarang dah jelas... woyooo.. kalau sesiapa yang tak ganti-ganti (qada') lagi sejak masa sekolah dulu.. kira jelah ... berganda-ganda... silap-silap kena buat loan bank rakyat nak bayar fidyah jeee...  So, pada sesiapa yang masih belum qada' tu... cepat-cepatlah qada'... sementara Ramadhan tahun nie belum menjelma... kalau tak... berganda-gandaaa....

Isnin, 26 Julai 2010

Kelebihan bulan Syaaban.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua... sedar tak sedar sekarang ni, dah nak masuk 15 Syaaban, bermakna tak lama lagi kita akan menyambut Ramadan al mubarak. Teringat pulak masa sekolah dulu, ustaz ada cerita, selain bulan Ramadan bulan Syaaban pun banyak kelebihannya. Masa tu kecik lagi.. takde la kisah sangat ngan semua menda nie...tapi bila dah tua-tua gini, barulah terfikir... Rupanya banyak kelebihan bulan Syaaban nie ye... Nak tau ?  cuba baca nie...artikel yang dipetik dari Al-azim .com ( nak tulis bab agama nie kena rujuk pada pakar)

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Fuuh... besar fadilatnya... rugi kalau tak buat. Tambah-tambah pulak kalau malam nisfu Syaaban. Rasulullah pernah bersabda :

Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda :
“Telah datang kepadaku Jibrail pada malam nisfu Syaaban dan dia berkata : “Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintulah rahmat dibuka. Maka berdirilah dan kerjakan solat lalu angkatlah kedua tanganmu ke langit”. Kata saya : Hai Jibrail, apakah erti malam ini?” Dia menjawab : “Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah swt mengampuni orang-orang yang tidak mensyerikatkan Allah dengan sesuatupun, kecuali para ahli sihir, dukun, orang yang suka bermusuhan, peminum khamar, orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang yang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni sehingga mereka bertaubat dan tidak mengulangi.” (Zubdathul Wa’izhin)

Woooyooo di bukak 300 pintu rahmat tuu... jangan memain, banyak tuuu... rugi kalau dibiarkan macam tuu ajee.. Jadi marilah kita bersama-sama melakukan yang terbaik di sepanjang Syaaban yang barokah ( ikut slang arab skit) ini. Ohyaa... jangan lupa ... puasa tahun lepas dah ganti ke belum... kalau belum, ada masa lagi nie... kalau dah masuk Ramadan nanti, tak pasal-pasal kena bayar fidiah lah pulak.


Cerita pasal fidiah ni ... Insyallah esok, kalau takdek apa-apa hal , aku cerita....skarang nie nak kena buat keja lain dulu.. esok ada meeting daa. okey ... Chaw cincaw... I followww...

Ahad, 25 Julai 2010

Cerita pasal warna...

Tadi masa jalan-jalan kat ILUVISLAM.com  terjumpa artikel pasal warna. Aku pun bacalah sampai habis. Lepas tuu aku mula terpikir... patutpun bebudak kat skolah aku tuu aktif semacam jee...rupa-rupanya ada kaitan dengan warna bangunan skolah. Nak tau kenapa???..  cuba baca artikel kat bawah nie ( dah edit jadi pendek, rajin skit nak baca).

Bagi seorang pelajar, warna hijau amat diperlukan. Ini kerana hijau merupakan simbol oksigen dan bertindak ke atas organ jantung dan paru-paru. Untuk seorang pelajar berada dalam keseimbangan dan harmoni, warna hijau yang dilihat oleh bebola mata akan dianalisa oleh pineal dan sejenis kimia akan dihasilkan oleh hipotalalmus pada bahagian otak untuk meransang kesimbangan. Ini bermakna, untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang selesa, kawasan sekolah mahupun di dalam bilik darjah perlu mempunyai banyak warna hijau.

Walaupun warna hijau itu datangnya daripada cat yang berwarna sedemikian namun keupayaan neuron otak akan turut merangsang organ yang berkaitan untuk bertindakbalas secara positif dengan warna yang dilihat. Kepintaran pelajar banyak bergantung kepada kapasiti oksigen yang diterima pada otak. Inilah yang membuatkan warna hijau perlu menjadi pilihan di kawasan sekolah ataupun kawasan kediaman.

Kawasan sekolah sepatutnya di penuhi dengan pokok-pokok dan bunga-bunga yang berwarna lembut, kerana warna bunga ataupun bangunan yang garang dan terang akan menggangu emosi pelajar dan mendorong pelajar bertindak secara agresif. Guru-guru juga perlu memakai pakaian yang berwarna lembut. Ini kerana warna baju yang dipakai oleh guru akan menjadi tumpuan sewaktu proses pengajaran berjalan. Kadangkala tumpuan pelajar boleh hilang sekiranya warna baju yang dipakai oleh guru tidak disukai oleh pelajar.Ini menunjukkan wujud gangguan keseimbangan dan sekiranya berterusan akan membabitkan masalah disiplin.


Mengapa kita rasakan kita tidak dapat menerima apa yang dipelajari pada waktu-waktu tertentu? Berdasarkan kajian sains fizik yang dijalankan oleh pengamal terapi getaran warna ini, setiap 24 jam waktu siang dan malam, berlaku bertukaran warna sebanyak tujuh kali mengikut warna-warna pelangi.

Seorang pakar psikologi barat mengatakan warna putih mampu meningkat kecerdasan, dan bayi perlu didedahkan sebanyak mungkin dengan warna putih dan warna-warna lembut untuk membolehkan IQnya bertambah secara maksimum. Warna unggu pula mempu mengatasi masalah kurang daya tumpuan di kalangan pelajar. Di samping itu, warna ungu yang disifatkan sebagai gelombang jarak jauh mampu meransang minat pelajar.

Menurut Dr. Norhisham Wahab, pukul 12 tengah malam hingga pukul 1 pagi alam dan segala hidupan diselubungi cahaya putih manakala pukul 1 pagi hingga pukul 2 pagi pula bertukar kepada warna merah jambu. Pada peringkat inilah kepekaan otak adalah pada tahap maksimum. Kita juga dilarang mengulangkaji pelajaran pada waktu-waktu pertukaran kerana pada waktu ini warna infra merah, merah, oren dan kuning akan berlaku dan membuatkan keseimbangan dalam tubuh kita menjadi terganggu. Begitu juga dengan pukul tujuh hingga tujuh setengah petang.

Fenomena gangguan keseimbangan oleh geteran warna-warna tertentu ini boleh dikesan dengan jelas ke atas mereka yang mengalami masalah kesihatan. Misalnya demam, seringkali kita dapati demam akan bertambah teruk apabila tiba waktu-waktu begini. Sememangnya warna banyak memainkan peranan dalam kehidupan kita.

Walaupun kebanyakan kita mempunyai warna kegemaran masing-masing tetapi kita harus mengetahui apakah warna yang memberi kesan negatif dan yang memberi kesan positif dalam kehidupan kita. Warna-warna putih dan lembut sering dikaitkan dengan unsur-unsur positif. Misanya, pelajar sekolah dikehendaki memakai pakaian seragam yang berwarna putih. Walaupun ada yang mengatakan cepat kotor tetapi warna ini sebenarnya mempengaruhi kepintaran dan keseimbangan emosi pelajar. Tetapi sekiranya persekitaran sekolah dipenuhi dengan warna-warna garang maka tidak hairanlah kalau sekolah begini mempunyai masalah disiplin yang teruk.

Bagi mereka yang hendak menjalani sesi temuduga juga dikehendaki mengenai pakaian daripada warna-warna yang lembut. Ini semua berkaitan dengan emosi mereka yang menemuduga dan yang ditemuduga. Daripada pakaian mereka sudah boleh menilai seseorang yang terbabit secara luaran. Begitu juga dengan hospital, jururawat, doktor dan pesakit serta bangunan dan perhiasan dalaman dihias berkonsepkan warna-warna lembut.

Hah dah baca!!!   Dah taukan kenapa?  Jadi bangunan skolah yang terang kalernya tuu... kenalah tukar kepada warna yang lebih lembut baru lah aman sikit agaknya... Jangan lupa warna PUTIH....







Rabu, 21 Julai 2010

RAHSIA Pisang

Perhatian:
Jangan sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang.

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi “ sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan:

Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mud dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS:

Lupakan pil-pil hospital makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda.



Anemia:

Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah , yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi:

Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda:

Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).


Penghadaman:

Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.


Keletihan:

Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu . Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung:

Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi:

Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk:

Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.


Saraf:

Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda .

Obesiti dan Tekanan Kerja:

Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek . Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil . Makanlah pisang.

Ulser:

Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu:

Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD):

Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari . Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mood kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau:

Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh .



Stress:

Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh . Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.


Strok:

Mengikut kajian dalam buku "The New England Journal of Medicine", mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit:

Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah .

Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, "Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!" MAKANLAH BUAH-BUHAN TEMPATAN.




Isnin, 19 Julai 2010

tanda-tanda kebesaran Allah...

LIHAT TITIK-TITIK HITAM DI TENGAH2 PADA KALIMAH ALLAH ITU SELAMA 10 SAAT DAN ALIHKAN PANDANGAN ANDA PADA DINDING KOSONG..
Lihatlah keajaibannya...!!!

mampuhkah kita mencintai sepertinya?



Ada Sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.

Pagi itu, Rasalullah dengan suara terbatas memberikan khutbah,"Wahai umatku, kita semua ada dalam bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan Sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, berarti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku.”Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, umar dadanya naik turun menahan dan tangisannya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

 
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cemas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir disana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkan masuk, “Maaf kanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu, wahai anakku?” “tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihanya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya bagian demi bagian wajah anaknya itu hendak dikenang. ”Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan si dunia. Dialah malaikat maut, “Kata Rasulullah.


Fatimah pun menahan ledakan tangisannya. Malaikat maut datang menhampiri, tepi Rasulullah menyakan kepada jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut Ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. “Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti Ruhmu. Semua Syurga tebuka lebar menati kedatanganmu,” kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar kabar ini?” tanya Jibril lagi.

“Kabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku:”Kuharamkan Syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada si dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan Ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit Sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam. Ali yang di dampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. “Siapkah yang danggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal?” kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, karena sakit yang tidak tertahankan lagi.”Ya Allah, Dahyat dengan maut ini, tumpahkan saja semua siksa maut kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimamuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kemudian mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummatii, Ummatii, Ummatii?”-“Umatku, Umatku, Umatku?” dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinar itu. Kini,mampuhkah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wasalim ‘alaihi. Bertapa cintanya Rasullah kepada kita. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai kita. Karena sesungguhnya selain dari pada itu hanyalah fana belaka.

Ahad, 11 Julai 2010

Tips bagi sesapa yang suka guna kad kredit...

Kad kredit bermaksud ... kad hutang, bunyinya macam best, tapi sebenarnya sama je macam buku hutang atau buku 555 ( buku tiga lima).. even lagi teruk dari buku 555. Sebab apa kad kredit nie aku cakap teruk.. sebab masa guna memang best, sampai tak ingat dunia... tapi yang tak best bila nak bayar semula, mulalah berkira-kira ... pastu kalau lambat skit atau tak bayar penuh dah kena charge macam-macam...tu dah kira interest tuu... kira dah riba', berdosa tau!

Dulu... aku ada banyak kad kredit, asal datang je promoter aku sign up.. apalagi kalau yang bagi free gift.. tak pikir lama terus jee kebas... last-last sangkut.. takleh bayar habis ... nasib baik tak banyak... boleh settle gak lahhh... tapi dah kena interest. Masa tu tak tau lagi yang charge lewat bayar tuu ... sebenarnya ialah interest.. aku ingat kan denda lewat bayar... apa daa.. ( tuu lah tak nak baca form sampai habis). Sampailah satu hari aku dengar ceramah Dr Fadzilah Kamsah pasal riba' baru aku tau ... yang denda lewat tuu sebenarnya interest yg dikenakan pihak bank. Start dari hari tuu.. aku pun terminate kan semua kad kredit yang aku ada...Sampai lah skrang ni... aku takde satupun kredit kad. Takpelah kalau orang kata tak up to date.. asalkan hati aku happy takyah nak bayar hutang kad kredit kat bank setiap kali aku berbelanja.. secara tak langsung dapat mengawal sikap aku yang boros nie... hehehe...

Lagipun skrang nie autoteller kan banyak...sampai kat stesen minyak ngan kedai 24jam pun ada tau... apa nak sussah .. tak yah bawak duit bebanyak.. tinggal cocok jee kad bank tuu.. kalau ada duit boleh belanja ... kalau takdek, buat tak tau sudah... tak yah nak nambah-nambah hutang...

Kalau emergency cammana? Itu kita kena serah kat tuhan... malang tak berbau... kena doa bebanyak.. tapi yang penting kena ada simpanan untuk kes-kes emergency... lagi bagus kalau ada insurance atau medical card... sekurang-kurangnya dah lega sikit.... Hehehe... panjang lebar pulak... macamlah aku nie bagus sangat.. Okay... kalau nak guna kad kredit jugak cuba amalkan tips-tips kat bawah nie... manalah tau boleh membantu...

1) Jangan bayar bayaran minima sahaja. Ini akan menjebakkan anda kepada hutang berterusan.

2) Jangan bawa banyak kad kredit. Ini bakal menjebakkan anda dengan penyalahgunaan kad yang mengakibatkan belanja berlebihan.

3) Jangan lupa bayar sebelum tarikh akhir. Tak pasal-pasal kena penalti bank.

4) Jangan ambil pendahuluan tunai (cash advance). Anda akan dengan kadar keuntungan yang tinggi dan bayaran perkhidmatan.

Diolah dari Susan McCarthy, pengarang buku The Value of Money.

5) Ataupun guna jee kad Debit lagi senang... ada duit boleh guna takde duit duduk diam-diam...hehehe...(yang nie aku tambah sendiri...memandai-mandai jee )

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Baginda s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naunganNya."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Jadi apa lagi?? Aku , nkau n sesapalah...pikirlah sendiri.. ..

Jumaat, 9 Julai 2010

Israk dan Mikraj, sepintas lalu...

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).